Yang aku tahu kedudukan begini ialah bagi tahiyat awal.
Ketika solat di Madinah dan juga di Makkah anda mungkin dapat lihat beberapa jema'ah (tersangat kecil bilangannya) yang cara duduk tahiyat mereka seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Yang pastinya mereka bukan jema'ah daripada Malaysia atau negara Asia Tenggara.
Terdapat sepotong hadith mengenai cara duduk dalam solat. Hadith berikut yang berbunyi begini dipetik daripada website JAKIM:
(http://www.islam.gov.my/portal/e-hadith.php)
Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a dari bapanya katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w duduk dalam solat, diletakkannya kakinya yang kiri antara paha dan betis serta menegakkan tumit kanan, meletakkan tangan kiri di lutut kiri, meletakkan tangan kanan di paha kanan dan menunjuk dengan telunjuk."
(Muslim)
Huraian :
Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa umatnya hendaklah bersolat sebagaimana cara baginda mengerjakan solat. Ini memberikan maksud bahawa setiap amalan di dalam solat itu sekalipun tidak dinyatakan secara terang di dalam al-Quran, ia dapat dirujuk pada cara ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w kerana Islam meletakkan bahawa sumber hukum syarak selain daripada al-Quran adalah sunnah dan hadith baginda rasulullah s.a.w yang telah diutus sebagai pesuruh Allah S.W.T untuk menyampaikan ajaran-ajaran-Nya. Oleh itu sebarang pertikaian tentang cara-cara mengerjakan solat hendaklah dirujuk kepada sunnah baginda kerana hal demikian memungkinkan banyak berlakunya percanggahan pendapat. Apa yang penting ialah perkara-perkara yang telah disepakatkan oleh ulama’ (ijma’ ulama’) hendaklah diikuti tanpa ada perselisihan hingga munculnya ajaran-ajaran baru yang jauh menyeleweng daripada sunnah baginda. Contohnya berlaku baru-baru ini, sekumpulan umat Islam yang bersolat berimamkan seorang wanita sedangkan hal sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang sejarah.
Berdasarkan penjelasan di dalam hadith di atas maka cara duduk yang dimaksudkan di dalam tahiyat akhir ialah seperti yang di tunjukkan dalam gambar di bawah:
"Dan apabila baginda duduk pada raka’at kedua (tahiyat awal), maka baginda duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (duduk iftirash), dan jika beliau duduk pada raka’at terakhir, maka beliau mengedepankan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan, dan duduk di atas tempat duduknya (duduk tawarruk)". (HR. Bukhari)
Hadith ini membezakan antara duduk tahiyat awal dan akhir. Dan cara duduk tersebut merupakan yang paling afdal bagi kedua-dua keadaan duduk ini.
Imam Nawawi menjelaskan: jika seseorang itu meninggalkan duduk yang sunnah ini, solatnya tidak terbatal. Begitu juga dengan apa jenis duduk sekalipun, samada seseorang itu terbalikkan duduk tahyiat awal (iftirash) dengan duduk tahiyat akhir (tawarruk) atau duduk berlunjur atau bersila atau lain-lain jenis duduk, semua ini tidak membatalkan solat, tetapi dia dikira telah meninggalkan sunnah yang afdal.