Tuesday, March 9, 2010

Cara duduk dalam tahiyat (tasyahud) akhir

Ketika solat berjema'ah di masjid tempatan (di Malaysia) aku sering terpandang atau tertumpu pandangan kepada kaki para jema'ah yang solat di saf hadapanku. Malahan pada bulan September 2010 ketika aku berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah Umrah aku telah melihat berbagai kedudukan para jema'ah di sana ketika dalam tahiyat. Ku akui bahawa cara para jema'ah itu duduk dalam tahiyat sesungguhnya sering mengagnggu konsentrasiku dipertengahan solat mahupun ketika tiba di penghujungnya. Tidak pasti pula aku apa yang para jema'ah lain rasakan ketika itu. Bukan niatku untuk menghina sesiapa kerana aku bukan ahlinya atau pakar rujuk dalam perkara ini tapi aku terbaca sesuatu dan juga ada mendengar kuliah daripada ustaz yang ku anggap mahir.

Ada jema'ah yang cara duduknya begini, ibu jari kaki kanan direbahkan.






Ada pula jema'ah yang duduk cara begini, punggung diletakkan di atas kaki kiri, ibu jari kaki kanan ditegakkan.

Yang aku tahu kedudukan begini ialah bagi tahiyat awal.


Ada juga sesetengah jema'ah duduk di atas kedua-dua tumit yang ditegakkan.






Ada jema'ah yang duduk begini, duduk di atas kedua-dua kaki yang disilangkan.






Ketika solat di Madinah dan juga di Makkah anda mungkin dapat lihat beberapa jema'ah (tersangat kecil bilangannya) yang cara duduk tahiyat mereka seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Yang pastinya mereka bukan jema'ah daripada Malaysia atau negara Asia Tenggara.

Terdapat sepotong hadith mengenai cara duduk dalam solat. Hadith berikut yang berbunyi begini dipetik daripada website JAKIM:

(http://www.islam.gov.my/portal/e-hadith.php)

Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a dari bapanya katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w duduk dalam solat, diletakkannya kakinya yang kiri antara paha dan betis serta menegakkan tumit kanan, meletakkan tangan kiri di lutut kiri, meletakkan tangan kanan di paha kanan dan menunjuk dengan telunjuk."


(Muslim)

Huraian :

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa umatnya hendaklah bersolat sebagaimana cara baginda mengerjakan solat. Ini memberikan maksud bahawa setiap amalan di dalam solat itu sekalipun tidak dinyatakan secara terang di dalam al-Quran, ia dapat dirujuk pada cara ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w kerana Islam meletakkan bahawa sumber hukum syarak selain daripada al-Quran adalah sunnah dan hadith baginda rasulullah s.a.w yang telah diutus sebagai pesuruh Allah S.W.T untuk menyampaikan ajaran-ajaran-Nya. Oleh itu sebarang pertikaian tentang cara-cara mengerjakan solat hendaklah dirujuk kepada sunnah baginda kerana hal demikian memungkinkan banyak berlakunya percanggahan pendapat. Apa yang penting ialah perkara-perkara yang telah disepakatkan oleh ulama’ (ijma’ ulama’) hendaklah diikuti tanpa ada perselisihan hingga munculnya ajaran-ajaran baru yang jauh menyeleweng daripada sunnah baginda. Contohnya berlaku baru-baru ini, sekumpulan umat Islam yang bersolat berimamkan seorang wanita sedangkan hal sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang sejarah.

Berdasarkan penjelasan di dalam hadith di atas maka cara duduk yang dimaksudkan di dalam tahiyat akhir ialah seperti yang di tunjukkan dalam gambar di bawah:


Perkara ini juga telah dirujuk kepada halaman blog lain iaitu:

Antaranya hadith Abu Humaid As-Sa’idi yang meriwayatkan sifat solat Nabi SAW:

فَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ جَلَسَ عَلَى رِجْلِهِ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْيُمْنَى وَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ قَدَّمَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْأُخْرَى وَقَعَدَ عَلَى مَقْعَدَتِهِ

"Dan apabila baginda duduk pada raka’at kedua (tahiyat awal), maka baginda duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (duduk iftirash), dan jika beliau duduk pada raka’at terakhir, maka beliau mengedepankan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan, dan duduk di atas tempat duduknya (duduk tawarruk)". (HR. Bukhari)

Hadith ini membezakan antara duduk tahiyat awal dan akhir. Dan cara duduk tersebut merupakan yang paling afdal bagi kedua-dua keadaan duduk ini.

Ada orang berpendapat wujudnya perbezaan cara duduk kerana mazhab yang berbeza. Saya kurang pasti kerana belum selesai mengkajinya.

Imam Nawawi menjelaskan: jika seseorang itu meninggalkan duduk yang sunnah ini, solatnya tidak terbatal. Begitu juga dengan apa jenis duduk sekalipun, samada seseorang itu terbalikkan duduk tahyiat awal (iftirash) dengan duduk tahiyat akhir (tawarruk) atau duduk berlunjur atau bersila atau lain-lain jenis duduk, semua ini tidak membatalkan solat, tetapi dia dikira telah meninggalkan
sunnah yang afdal.