Tuesday, April 6, 2010

Sajak pertama ku kenali

Ketika aku dibangku sekolah rendah, tak ingat dalam darjah berapa, seorang guru kelas memilih aku untuk mendeklamasi sajak "AKU" oleh Khairil Anwar. Walaupun maksudnya kurang ku fahami namun ku suka perkataan-perkataan yang terdapat di dalamnya seperti "Aku ini binatang jalang", "Luka dan bisa ku bawa berlari, Berlari". Pendek kata kesemuanya sekali aku menyukainya sehingga aku menghafal sajak ini:

AKU

Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi


Chairil Anwar
Maret 1943



Chairil Anwar (1922-1949), adalah seorang penyair legenda Indonesia. Kariernya sebagai seorang penyair bagaimanapun adalah singkat (1942-1947), beliau pergi pada umur 27 tahun.

Salah satu sajak Chairil Anwar yang paling popular AKU. Ia sebenarnya adalah sebuah sajak yang menggambarkan kemarahan dan kelukaan hati Chairil terhadap bapanya yang telah mengabaikan ibu Chairil. Namun begitu, sajak ini banyak diinterpretasikan sebagai sajak perjuangan. Sajak ini sering dikaitkan dengan perjuangan kemerdekaan. Ada juga yang mengatakan bahawa sajak ini dicipta untuk menggambarkan rasa marah dan benci pada penjajah Jepun pada masa itu.

Chairil Anwar juga adalah pengasas dan penggerak Angkatan 45 (bersama Asrul Sani dan Rivai Apin) yang memperjuangkan perjuangan memertabatkan Bahasa Indonesia. Angkatan 45 bukan sekadar menghasilkan karya-karya sastera pada zaman itu, tetapi juga berperanan membangkitkan gelora rakyat menuntut kemerdekaan menerusi penulisan. Chairil dikenang sebagai pelopor puisi modern yang lari dari pengaruh puisi lama. Puisi AKU, sebagai contoh, lari dari bentuk pantun yang meleret-leret. Chairil menggunakan patah kata yang ringkas, tidak berbunga dan tepat dan penuh emosi.


Chairil Anwar kini dikenali bukan sahaja di Indonesia. Sajak AKU tulisan Chairil Anwar juga diabadikan di dinding sebuah bangunan di bandar Leiden, Belanda, dalam projek puisi di dinding. Ianya merupakan usaha untuk mengabadikan 101 puisi terkenal dunia di dinding bangunan di bandar Leiden. Sajak Chairil Anwar yang bertajuk Aku itu adalah salah satu dari puisi dinding terpilih selain karya besar Shakespeare, WB Yeats, John Keats, Dylan Thomas dan lain-lain. Begitulah berpengaruhnya Chairil Anwar.
Kini, Chairil Anwar bukan lagi dari kumpulan terbuang.

Hollywood dan Kehidupan di Amerika Syarikat Yang Sebenarnya

Aku salah seorang yang banyak terpengaruh dengan apa yang disaksikan dalam filem-filem Amerika. Antaranya yang mempengaruhi ialah ketika aku berada di sana aku sering perhatikan ke angkasa jika aku berpeluang melihat UFO lalu di situ.

Aku sepatutnya tidak terbawa dengan fikiran sedemikian kerana hampir 50 tahun lalu aku telah membaca sebuah artikel dalam majalah sekolah yang ditulis dalam seorang guru bangsa Amerika bertajuk "Hollywood dan Kehidupan di Amerika Syarikat Yang Sebenarnya". Pertamanya, aku kangum membaca tulisan dia kerana di tulis dalam Bahasa Melayu (tiada siapa yang mengaku menterjemahkan untuknya). Keduanya, ku dapati tulisan itu jujur ........buat ketika itu atau mungkin ada yang sehingga ke hari ini.

Anda juga mungkin ingin tahu apa yang ditulisnya. Untuk itu di bawah ini ku taipkan semula artikelnya, bayangkan berapa jam aku menghabiskannya menaip menggunakan dua jari telunjukku (OCR aku buat hal, tak dapat digunakan) menggunakan sistem ejaan baru. Aku menaip baik sikit darpada cara Haris Iskandar menaip dalam filem Baik Punya Cilok.


Hollywood dan Kehidupan di Amerika Syarikat Yang Sebenarnya

Oleh Arnold Deutchman

US Peace Corp Volunteer

Orang² di Malaya kebanyakannya percaya bahawa wayang gambar Amerika sebenarnya memberi gambaran yang terang dan betul berkenaan hehidupan sehari² di negeri itu. Hal ini sangatlah mendukacitakan. Kebanyakan penonton² filem itu membuat kesimpulan ‘am dari hal kehidupan di Amerika yang berlebihan dan mengkaburkan keadaan yang sebenarnya didapati di sana. Sungguh pun mustahil juga pada masa ini hendak menerangkan lebih dari dua tiga mithalan berkenaan itu, biarlah saya sebutkan sedikit sahaja di sini perkara² yang paling zahir.

Saya sebagai wakil yang tidak resmi dari negeri Amerika ke negeri ini ....Malaya, sudah ditanya bermacam² soalan darihal negeri saya. Soalan² yang sentiasa membayangkan bahawa orang di Malaya percaya bahawa kehidupan orang² di Amerika adalah sebagaimana yang di dapati dalam filem². Oleh yang demikian sekarang saya hendak mengkaji setengah soalan² itu.

Soalan yang biasa ditanya ialah, “Dah Encik Arnold melihat Hollywood?”, “Dah berjumpakah bintang² filem?”. Jawapan saya sentiasa, “Tak pernah jumpa, tak pernah melihat Hollywood .....kecuali dalam televisyen!” Manakan boleh keadaan semacam ini berkata. Keadaan ini sangatlah senang hendak difaham. Bilangan penduduk² Amerika adalah ramai, berjumlah 185 juta orang dan saya sendiri tinggal hampir 3,000 batu dari bandar Hollywood. Jadi manakah peluang saya untuk melakukan perkara² itu? Sebaliknya mungkin seorang Malaya mungkin akan terjumpa seorang Amerika yang tinggal di Hollywood dan ianya telah pernah bertemu dengan beberapa orang bintang filem. Tetapi harus orang ini tidak pernah melihat bandar New York. Begitulah keadaannya, bukan di Amerika sahaja tetapi di sini juga. Di Malaya pun, berapa orangkah yang tinggal di Pantai Barat boleh menceritakan kehidupan di Pantai Timur daripada pengalamannya sendiri. Patutlah diingat, Amerika ialah sebuah negeri yang besar dan luas.

“Bagi saya tau sedikit sebanyak darihal koboi² di Amerika?” orang Malaya bertanya kepada saya pula. Filem² Western betul² menunjukkan kehidupan di bahagian Barat Amerika sebagaimana yang di dapati dalam kurun yang lalu. Sekarang ini jarang² boleh kita nampak koboi² di jalanraya di pekan² barat negeri Amerika. Tetapi kalau seorang koboi dijumpai di jalan, haruslah mata pencariannya hanya membela “cattle on a ranch”. Dan tentu sekali dia tidak berjalan² ke sana ke mari tembak menembak orang di mana² juga. Patutlah si pembaca sedar bahawa kehidupan sehari² di Pekan Texas ialah lebih kurang serupa dengan kehidupan di bandar² Amerika yang lain.

“Bagaimana pula dengan “gangsters” di Chicago?” saya selalu ditanyai. Berkenaan dengan “gangsters” di mana² negeri pun serupa juga. Jumlah orang² jahat di Chicago lebih ramai daripada di Ipoh dan mungkin mereka lebih pandai juga dalam cara² membunuh orang. Sungguhpun begitu, ini tidaklah bererti bahawa keluasan masalah … secara perbandingan … di Bandar Chicago lebih daripada di sini. Mestilah disedari bahawa penduduk² di bandar Chicago adalah 4 juta orang …. Kira² empat pertujuh daripada seluruh penduduk Persekutuan. Oleh kerana baharu² ini beribu² orang dari bahagian selatan negeri Amerika Syarikat yang tidak ada mata pencarian berpindah ke bandar Chicago, keadaan di sana bertambah buruk. Akibatnya kesulitan di antara suku bangsa. Walaubagaimanapun, pegawai² kerajaan sedang berusaha bersungguh² mengatasi segala kerumitan² yang tersebut di atas. Bukan maksud saya membincangkan perkara² ini pada pasa ini, tetapi ingin saya menerangkan pandangan kebanyakan orang² Malaya bahawa kehidupan di Pekan Chicago seperti “hutan yang penuh dengan orang² jahat” itu tidak begitu tepat. Pandangan ini kira² sama tepatnya dengan pendapat kebanyakan orang² Amerika bahawa orang² di Malaya tinggal di atas pokok. Hendaklah difahamkan bahawa rakyat biasa di bandar Chicago berada dalam keadaan selamat dalam kerja hari² mereka seperti yang kita dapati di Ipoh….boeh jadi lebih lagi.

Pada akhirnya orang² di Malaya kerap kali percaya bahawa orang² Amerika berada semuanya. Pukul rata, rakyat negeri Amerika Syarikat ialah orang² berada. Tetapi ini Cuma “pukul rata” sahaja. Ini bolehlah dibandingkan denga keadaan orang² Tionghua di Malaya. Sentiasalah didengar bahawa orang² Tionghua itu orang kaya. Tetapi saya perhatikan walaupun orang yang kaya sekali orang Tionghua, orang yang miskin sekali adalah orang Tionghua juga. Kadang² kata² pukul rata itu tidak ada maknanya. Bukankah betul seorang boleh mati lemas dalam keadaan air yang dalamnya ….pukul rata….hanya satu inci sahaja.

Sungguhpun taraf kehidupan di Amerika sangat tinggi, tetapi ada juga kemiskinan. Seperti di Malaya juga, ramai orang yang hidup dalam keadaan cukup² hidup sahaja. Sekiranya dikatakan kerja Kerajaan Persekutuan baharu sahaja bermula, maka bolehlah dikatakan kerja Amerika lagi selesai.

Di Amerika Syarikat kaum pertengahan itu ramai juga. Satu perkara yang sudah tentu kaum ini yang terdiri dari kaum² buruh mempunyai darjah penghidupan yang agak luar biasa jika dibandingkan dengan pekerja² di negara lain. Oleh sebab itu kaum ini pun boleh membeli benda² seperti kamera, telivision, kereta, mesin jahit otomatik dan berjenis² barang² lain yang boleh meringankan bebanan kerja sehari². Sungguhpun begitu tidaklah berapa ramai orang daripada kaum itu yang mempunyai rumah² besar ataupun mampu membeli pakaian² yang sangat mahal …mengikut taraf kehidupan di Amerika. Juga jarang² orang Amerika menggaji amah². Saya sendiri tidak pernah melihat seorang orang gaji berkerja di mana² pun…melainkan dalam filem². Pada umumnya hanya sedikit sahaja peratus penduduk² bergaji tinggi mengadakan perkara² yang tersebut.

Selain daripada kaum pertengahan yang tersebut di atas, kaum bawahan….dalam ertikata ekonomi…boleh juga di dapati dalam masyarakat Amerika. Bahagian masyarakat ini selalunya tidak mampu membeli barang² kemewahan yang boleh dibeli oleh kebanyakan orang² Amerika. Setengah² daripada mereka ini kerapkali berada dalam keadaan kesusahan dan kekurangan untuk memberi makan kepada keluarga mereka, ataupun mengadakan rumah² yang sesuai. Oleh yang demikan dalam sebuah negeri yang makmur dan mampu sekalipun seperti Amerika, masih boleh juga di dapati kemiskinan.

Hari yang kedua selepas saya sampai di Malaya, seorang Malaya telah menanya saya, “Bapa awak ada berapa ekar ladang?” Agaknya kerana dia melihat kamera saya yang agak mahal juga harganya itu, telah menyebabkan dia menanyakan soalan itu. Mahasiswa itu terkejut bila saya memberitahu ia bahawa bapa saya berkerja sebagai pemandu lori dan tidak pun mempunyai rumahnya sendiri. …..apatah lagi ladang. Dia pemandu lori …..tetapi dia juga mempunyai kereta Amerika yang besar dan pada keseluruhannya hidup dalam keadaan serba serbi sempurna. Penuntut itu hairan lagi bila mendengar bahawa saya tidak boleh masuk ke universiti langsung jika sekiranya saya tidak menerima biasiswa dan bantuan wang yang lain. Pada umumnya mahasiswa itu tidak faham segala kekusutan dan kesulitan Amerika.

Adalah mustahak memikirkan kenyataan di atas bila menonton filem² dari Amerika. Filem² dari luar negeri sangat berguna untuk memahami keadaan masyarakat sesuatu negeri itu sedalam²nya …untuk mengetahui jiwa masyarakat itu. Tetapi oleh kerana filem² itu dikeluarkan utama sekali untuk tujuan perdagangan, dan sebab kebenaran dan tetapan tidak mestinya ada perhubungan tujuan² ini….makan filem² ini mestilah dikaji melalui pandangan seorang kritikus.

Tak Pernah Lihat Mat Salleh

Kelmarin aku menulis menyatakan bahawa aku sebagai budak desa tak pernah melihat Mat Salleh. Anda yang membacanya mungkin ketawa terbahak-bahak.

Rupa-rupa aku tidak keseorangan ketika itu. Nah cuba lihat apa yang tertulis di dalam paper FY 1966 Congressional Presentation atau boleh lihat kandungan sepenuhnya di alamat ini, sila klik 2 kali : http://multimedia.peacecorps.gov/