Sunday, March 1, 2020

Pengalaman di Tanah Suci

Catatan Pengalaman ALRAZZI
Saudara yang dihormati,

Aku bukanlah seorang penulis berbakat. Bagaimanapun, aku ingin mencoretkan sebaik mungkin satu kisah yang ku alami sendiri ketika aku berada di Tanah Suci Makkah.

Tujuanku menulis kisah ini ialah kerana pengajaran yang ku perolehi daripadanya. Mungkin juga ia berguna kepada sesiapa yang kebetulan membaca kisah ini.

Kelihatan tajuknya seperti juga kisah yang pernah dipaparkan di dalam akhbar oleh penulis-penulis lain. Tetapi kisah yang ku tuliskan ini adalah versiku sendiri. Andaikata terdapat persamaan dengan mana-mana kisah lain yang anda pernah dengar atau baca, itu adalah satu kebetulan. Aku percaya ramai yang akan meragui kejadian yang ku alami ini. Mungkin ramai yang akan berkata bahawa aku hanya bermimpi.

Pada Tahun 1992, aku telah berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan fardhu haji, rukun Islam kelima. Menemani ku ialah isteriku dan juga kakak iparku. Kami memilih untuk mengerjakan Haji Ifrad. Kami siap mengenakan pakaian ihram ketika bertolak dari rumah di Cheras lagi.





Dipendekkan cerita, kami pun tiba di Tanah Suci Makkah. Itulah kali pertama kami ke sana, aku sangat kagum melihat Kota Suci Makkah yang sesungguhnya di luar dugaanku. Apatah lagi pabila melihat Masjidil Haram dan memasukinya melalui Pintu Babussalaam. Mataku seperti terpaku memerhati ke arah Ka’abah yang buat pertama kalinya dilihat secara zahir.

Di dalam kegairahan serta kegembiraan itu rupa-rupanya ada seorang hamba Allah yang sedang memerhatikan tingkah laku kami. Dari jarak lebih kurang sepuluh meter daripada tempat kami berdiri, dia yang sedang berdiri membelakangi Ka’abah menggamit-gamitkan tangannya ke arah kami.

“Abang, orang tu panggil kita,” kata isteriku sambil menunjuk kearah seseorang yang memakai jubah putih, kepala dilitupi kain serban bertompok kecil warna merah.

“Agaknya orang tu nak tolong bawa kita bertawaf kot,” kata isteriku lagi.

Almaklum sajalah, kami sebagai orang baru tiba di tempat yang agak asing, kalau ada orang nak bimbing atau nak tunjuk ajar di dalam mengerjakan tawaf memang bagus, senanglah sikit.

“Jomlah kita jumpa dia,” ajak isteriku.

Kami berjalan dengan langkah biasa mendekati orang itu. Rupa parasnya serta warna kulitnya macam orang Arab Saudi.

“Malayzia?” Tanya dia dari mana kami datang.

“Malayzia,” jawabku.

“Mahu tawaf?” Tanya dia lagi kepada kami.

Terpegun sejenak aku, boleh bercakap Melayu rupanya Pak Arab tu.

“Ya, tawaf Qudum,” jawabku.

“Mari ikut Syeikh!” kata orang itu dengan membahasakan dirinya “Syeikh”.

Di saat itu terlintaslah difikiranku berapa pula bayaran upah nanti yang akan diminta oleh Syeikh. Emm tak apalah, mungkin tawaf yang dilaksanakan akan menjadi lebih sempurna dengan bimbingan Syeikh.

Tanpa berbincang atau berunding apa -apa pun, kami bertawaflah mengelilingi Ka’abah di bawah bimbingan Syeikh. Syeikh berjalan di depan sekali, aku di belakangnya sambil tangan Syeikh menarik tanganku, isteriku yang mengikut di belakangku memegang kain ihram yang membalut sebahagian badanku. Kakak iparku di belakang sekali. Jema’ah yang sedang bertawaf sangatlah ramai di waktu itu. Masyaallah, di dalam lautan manusia tu Syeikh yang bawa kami main redah saja, berjalan laju sambil bersimpang siur mengelak jema’ah yang berada di hadapan, kadang-kadang terlanggar juga jema’ah lain. Aku terdengar ada jema’ah yang bersungut dengan perbuatan kasar Syeikh tu. Aku tak dapat berkata apa-apa, aku ikut saja walapun hatiku tidak berapa setuju dengan caranya. Cuba bayangkan pada waktu yang sama aku nak belek do’a-do’a di dalam kitab kecil yang dibekalkan oleh Lembaga Urusan Tabung Haji dan pada waktu itulah juga nak hayun langkah. Memang susah!

Selesai tujuh pusingan tawaf, kami di bawa oleh Syeikh ke kawasan di belakang Maqam Ibrahim untuk bersembahyang sunat di situ. Di saat itu hatiku merasa cukup tidak puas dengan tawaf yang baru saja kami selesai melakukannya. Cara Syeikh bawa kami bertawaf tu tidaklah sempurna, cincai, apalagi bacaan do’a di setiap pusingan tawaf tadi pun lintang pukang pula tu.

Selesai mengerjakan solat sunat lalu Syeikh berkata,” Anta, anta dan anta,” sambil menunjukkan dengan jari telunjuknya kepada kami bertiga, “200!” katanya.

“200 Riyal?” Tanyaku agak terperanjat.

Syeikh mengangguk kepalanya. Ertinya betullah bahawa aku perlu bayar upah 200 Riyal kepadanya untuk kami bertiga. Wow, bukan sikit upah yang dia minta!

Waktu itu teringat aku kepada ceramah ustaz sewaktu kami mengahdiri kursus haji di Masjid Kampung Pandan Dalam dulu. Ustaz sering mengingatkan bahawa waktu di Makkah akan terdapat banyak dugaan dan hendaklah kita sentiasa bersabar menghadapinya. Walaupun di dalam hatiku berkata mahal sangat bayaran upah tu tapi aku tidak mahu tawar menawar dengan Syeikh kerana silap aku juga tak berbincang dulu berapa upah dengan dia tadi. Ini mungkinlah salah satu dugaan yang dikatakan oleh ustaz.

Ku seluk beg-tali-pinggang hijauku dan ku keluarkan kesemua duit Riyal daripadanya. Ku kira jumlahnya, yang ada ketika itu hanya 150 Riyal iaitu tiga keping wang kertas 50 Riyal tiap satu.

“Nah, ini saja duit Riyal yang saya ada, 150 Riyal,” kataku sambil menghulurkan wang kertas tu kepada Syeikh.

Syeikh mengambil duit itu sambil dikiranya satu persatu tiga keping wang kertas 50 Riyal tu. Sekeping daripada wang kertas tu terkoyak sedikit di bahagian atas di sebelah tengahnya. Wang kertas 50 Riyal tu dulu aku tukar daripada Money Changer di Bukit Bintang dan sewaktu aku mengiranya tempoh hari aku sudah perasan bahawa wang itu sedikit terkoyak. Menyedari hanya 150 Riyal yang ku berikan kepadanya, Syeikh minta lagi!

“Saya sudah tak ada wang Riyal lagi,” jelasku kepada Syeikh.

Dia minta lagi wang daripadaku.

“Yang ada hanya wang Malaysia,” jelasku bersungguh-sungguh kepadanya agar dia faham.

Dia minta juga wang Malaysia daripadaku.

Aku serahkan RM10.00. Dia minta lagi.

Aku serahkan lagi RM10.00. Dia minta lagi.

Aku serahkan lagi RM10.00. Dia tak minta lagi dan dia terus beredar.

Semuanya upah yang telah ku bayar kepada Syeikh ialah 150 Riyal campur RM30.00. Peristiwa itu disaksikan oleh isteri dan juga kakak iparku. Kami pun tak berkata apa-apa lagi, aku terasa nak marah juga kepada isteri (kerana dia yang beria-ia sangat tadi) tapi ku lupakan saja perasaan tu. Mesti sabar, ini satu dugaan! Kami meninggalkan Masjidil Haram untuk balik ke kediaman iaitu di sebuah apartment bernama Dar al-Ghazah yang terletak berhadapan Masjid Kucing.

Keesokannya seketika setelah selesai solat fardhu Subuh, sinaran suria pagi sudah terang, aku, isteriku dan kakak iparku keluar berjalan-jalan dengan tujuan untuk membeli cenderahati buat sanak saudara di Malaysia. Nak lakukan Umrah memang tidak wajar kerana kami mengerjakan Haji Ifrad.





Kami melihat-lihat barang-barang jualan sambil isteriku membeli sedikit itu dan ini seperti jubah, tasbih dan macam-macam lagi. Biasalah orang perempuan begitu, merekalah yang paling ingat nak hadiahkan itu dan ini kepada saudara mara bila pulang ke tanah air nanti.

Setelah membeli itu dan ini, wang yang ada pada isteriku pun kehabisan dan dia meminta wang daripadaku.

“La ni mana ada lagi duit, kan semua duit Riyal dah kasi Syeikh kelmarin,” kata ku, tetapi pada waktu yang sama tanganku menyeluk beg-tali-pinggang hijauku. Ku terasa ada duit kertas di dalamnya. Ku keluarkan duit itu.

“Eh, adalah duit!” kataku gembira bercampur hairan.

Sambil memegang wang itu dengan kedua belah tangan, ku amati wang kertas yang berada di dalam tanganku itu. Ia adalah tiga keping wang kertas atau not 50 Riyal yang tersusun rapi sewakt u di keluarkan dari beg-tali-pinggang hijau. Sekeping daripada not 50 tu terkoyak sedikit di bahagian sebelah atas di tengahnya.

“Eh, ini duit yang saya serahkan kepada Tok Syeikh kelmarin!” kataku dalam nada terperanjat. “Macam mana duit tu boleh ada kat sini?” Tanyaku kepada isteriku.

Tak percaya dengan apa yang ku lihat dan untuk kepastian ku tanya isteriku jika dia telah serahkan kepadaku sebarang wang Riyal sebelum daripada ini. Dia kata dia tidak serahkan apa-apa wang Riyal kepadaku. Peristiwa ini disaksikan oleh isteri dan kakak iparku. Wang itu lalu ku serahkan semuanya kepada isteriku.

Subhanallah, apa dah jadi?…. Aku bingung, fikiranku melayang di alam maya, perasaanku tiba-tiba naik sebak mengenangkan apa yang ketika itu sedang ku alami. Inilah satu kejadian yang memperlihatkan kebesaran Allah. Aku yakin apa yang telah berlaku adalah semuanya di atas kehendak Allah Yang Maha
Berkuasa.

Buat beberapa ketika dan sehinggalah ke hari ini kenangan itu mengusik jiwaku. Selepas peristiwa itu, setiap kali aku memasuki dan berada di dalam Masjidil Haram menunggu tibanya waktu solat fardhu, ketika duduk sambil memerhatikan kearah Ka’abah, dengan tidak disedari air mataku berlinang……..

Peristiwa itu sesungguhnya memberikan aku kesedaran serta memperolehi pengajaran seperti berikut:

1. Laksanakanlah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kamu dengan penuh ikhlas. Andaikata anda dibayar RM5,000.00 laksanakanlah tugas itu dengan nilai tidak kurang daripada RM5,000.00.

2. Bahawa dalam hal Tok Syeikh itu, ku andaikan dia telah kehilangan 150 Riyal dan yang tinggal padanya hanya RM30.00 kerana khidmat yang diberikan ketika membawa kami bertawaf hanya setimpal dengan bayaran RM30.00 sahaja. Jika Allah menghendaki, Allah akan menarik balik apa juga yang diperolehi dengan cara yang tidak amanah dalam sekelip mata.

Sekian.
Ikhlas daripada,
AlRazzi
Menjelang Syawal 1426 Hijrah
28 Oktober 2005.
KLCC, Lev 23, Tower 2, PETT – Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor Darul Ehsan.

Nota:
Wang 150 Riyal yang ku dapat balik tu telah dibelanjakan kesemuanya untuk membeli cenderahati.