Tuesday, July 27, 2010

Surat kepada YB Tuan Zakri...... Kembara Redang


Kehadapan sahabatku YB Tuan Zakri yang diingati selalu....haha.

Setelah bersara dari alam pekerjaan terdapat waktu yang terluang lalu ku tulis surat ini. Aku menulis bukan kerna nama.... haha.... aku menulis kerana ia mengembalikan kenanganku ketika zaman persekolahan menengah dulu iaitu di antara tahun 1964 - 71, waktu itu kita tinggal di asrama. Aku sering menulis surat kepada Ayahandaku di kampong, sekurangnya seminggu atau sepuluh hari sekali untuk memberi laporan tentang diriku, maklumlah telefon mana ada di kampong waktu tu... haha. Jika aku tidak mengutuskan surat nescaya Ibuku akan merasa gelisah ingin tahu apa pula yang terjadi terhadap anaknya di perantauan, di fikirannya samada mungkin aku sedang sakit ataupun demam begitu.

Alkisah....... dah lama aku tidak mengikuti rombongan ke mana², cuma di zaman sekolah rendah dan menengah dulu rajin juga laa aku mengikuti rombongan pergi ke Pulau Pinang, Taiping, Air Terjun Tanjung Rambutan, Teluk Batik, Teluk Kemang dan Kuala Lumpur. Pendek kata mengikuti rombongan pergi berjalan² makan angin di tempat² dalam negara sendiri itu bak orang lama punya cara ..... belia sikit laa cara macam tu .....haha. Orang zaman sekarang masing² punyai kenderaan sendiri, jika mahu ke mana² mereka pandu sendiri kenderaan, tidak perlu menaiki bas atau mengikuti rombongan.

Baru² ini aku, isteri serta dua anak mengikuti rombongan ke Pulau Redang. Kami berlepas dari Cheras, Selangor pada jam 10.30 mlm, menaiki bas persiaran yang dipandu cukup berhemat, boleh dikatakan menurut had laju di sepanjang perjalanan, itulah kemahuanku.

Kami tiba di Jeti Shahbandar, Kuala Terengganu jam 8.00 keesokan pagi. Oh ya, aku teringat ketika bas keluar dari Lebuhraya Pantai Timor selepas Tol Jabor dan memasuki jalan di Negeri Terengganu.... aku merasakan hayunan tempat duduk bas itu seperti aku sedang berada di dalam buaian, maksudku aku tidak enjoy tapi sebaliknya rasa pening kepala. Aku tidak pasti samada jalannya yang berombak tinggi rendah akibat kemendapan atau suspension bas yang kurang baik menyebabkan efek sedemikian.

Dilampirkan peta Negeri Terengganu Darul Iman di bawah ini bertujuan untuk memberi gambaran lokasi Pulau Redang iaitu letaknya di bahagian atas sama baris dengan tulisan TERENGGANU.




Pulau Redang letaknya di Laut China Selatan, lebih kurang 1 - 1/2 jam perjalanan menaiki feri pada kelajuan lebih kurang 45 km/jam dari Jeti Shahbandar Kuala Terengganu menuju ke arah utara.

Andainya terdapat perkhidmatan feri daripada Kg. Kuala Setiu, ia mungkin mengambil masa cuma setengah jam untuk ke Pulau Redang.
















Harga tiket feri ialah RM30.00 bagi dewasa.
Harga tiket kanak² aku tidak pasti.
Aku perhatikan kebanyakan penumpang feri adalah orang² dewasa.

Sewaktu dalam feri ada tayangan video certia "Tom-Yum-Goong" iaitu sebuah cerita Thai, bukan cerita makan tom yam ya, tapi sebuah kisah yang penuh dengan aksi lincah gasak menggasak. Aku suka cerita tu. Aku membeli CDnya di sebuah kedai di Kuala Terengganu sewaktu pulang ...haha.
















Di kawasan jeti Pulau Redang dan sekeliling, airnya kelihatan biru bersih serta banyak sampan² yang sedang berlabuh di parking bay masing². Ketika kami sampai air sedang pasang tetapi tidak pasang besar.



Dari atas jeti aku nampak rakan² rombonganku begitu teruja melihat ikan yang cukup banyak di situ, apabila dicampakkan biskut atau roti ikan² itu menerkam serta berebut memakannya. Wow, seronoknya!

Dua peristiwa menarik yang menjadi kenangan ketika di Pulau Redang ialah snorkeling dan juga memancing.

Sebelum aktiviti snorkeling yang sebenar dilakukan, semua peserta dikehendaki menghadiri sesi latihan cara menggunakan life jacket dan juga snorkelin & diving mask. Untuk itu kami telah dibawa dari rumah tumpangan berhampiran jeti utama ke sebuah pantai di kawasan teluk bahagian pertengahan sebelah utara pulau. Yang menariknya ialah kami dibawa ke sana menaiki lori 1-tan sementara sebuah lagi kenderaan ialah van lama.

Lebih kurang 30 orang (termasuk 3 jurulatih) menaiki lori sementara 12 lagi peserta menaiki van. Jalan yang dilalui semuanya curam, samada waktu mendaki ataupun menuruni bukit, cukup merbahaya serta mengerikan tapi terpaksa bersabar laa haha.

Kemudiannya baru aku tahu bahawa di Pulau Redang kenderaan pengangkutan agak kurang. Kelihatan di sana sini kereta dan motorsikal yang dipandu tanpa nombor pendaftaran, ertinya pemilik kenderaan tidak membayar road tax.

Oleh sebab bayaran rombongan agak rendah maka rombongan kami hanya disediakan lori kecil sebagai kemudahan untuk travel ke tempat latihan..... haha.





Kami telah diajar cara mengapongkan badan di permukaan air dengan memakai life jacket dan kami dibertitahu bahawa jacket tersebut boleh timbul di permukaan air selama 72 jam.



Di samping itu kami di ajar cara menggunakan snorkeling mask termasuk paip pernafasan. Kami diberitahu supaya bernafas melalui mulut ketika paip tersebut terpasang di mulut.

Inilah kali pertama aku mencubanya dan merasa agak selesa ketika snorkeling. Cumanya orang seperti aku yang berkaca mata tidak boleh guna kacamata ketika memakai mask, jadi blur laa sikit penglihatan.

Sewaktu mau pulang dari latihan cuma lori tadi saja yang datang mengambil kami, manakala van sudah rosak katanya. Apa lagi habis kesemua 40 orang peserta terpaksa naik lori, diisi penuh macam ikan sardin dalam tin.... di sini aku katakan bahawa itu gillla punya kerja... haha. Aku berdiri di tengah bahagain lori dan agak ke belakang, tak ada tempat nak berpaut. Cuba bayangkan ketika lori itu sedang mendaki jalan curam, enjinnya terbatuk² lalu mati dan lori yang sarat muatan itu berundur ke bawah. Aku terbayangkan sa'at kematian sudah hampir tiba jika keempat² tayarnya ke langit. Aku yang selalnya suka mengambil gambar sudah rasa tidak berminat untuk mengambil gambar lagi.... perasaan bimbang menguasai segala²nya. Perjalanan lingkungan 4 ke 5 km itu dirasakan seperti mimpi yang cukup ngeri.

Pada sebelah malamnya kami keluar ke laut untuk mencandat sotong tapi sayang kerana musim sotong sudah berlalu. Daripada aturcara mencandat sotong program diubah kepada memancing ikan. Ketika ditanya berapa ramai peserta yang ingin turut serta, hampir 30 orang mengangkat tangan menyatakan berminat. Sekitar jam 7.00 mlm sampan berlepas ke laut dalam dengan masing² memakai life jacket. Bunyi hilai ketawa gembira memenuhi ruang hadapan sampan yang dipenuhi peserta wanita. Peserta lelaki duduk di bahagian belakang dan kiri kanan sampan. Masing² tidak sabar mahu mencampakkan mata pancing yang dibekalkan kepada setiap peserta. Umpannya ialah sotong.

Hampir setengah jam berlalu kami pun tiba di lokasi yang dikenalpasti banyak ikan. Setelah 15 minit sampan dilabuhkan badanku mula rasa panas serta berpeluh dan tidak selesa. Ku buka jacketku dan ku campakkan ke lantai. Aku tidak duduk di atas sampan sebaliknya berdiri kerana selesa begitu. Setiap kali ombak besar memukul sampan ia akan berolak alik kiri ke kanan. Sejak mula lagi aku memang tidak berkeyakinan penuh dapat melawan mabuk. Kini aku merasakan bagaimana mabuk laut itu perlahan² merayap memasuki tubuh badanku dan aku cukup bimbang termuntah nanti diketawakan orang.

Ku perhatikan ke bahagian hadapan dan belakang sampan kami. Suara yang riuh tadi tidak lagi kedengaran, baik wanita mahu pun lelaki. Masing² seperti menunggu gigitan ikan di mata pancing. Sayangnya hampir 45 minit berlalu tiada seorang pun yang mendapat ikan. Tak berapa lama selepas itu aku terdengar bunyi riuh, rupanya ada member yang dapat seekor ikan. Aku yang berdiri di kiri sampan tidak dapat melihat ikan yang diperolehi di sebelah kanan sampan.

Selepas 70 minit ketua kumpulan membuat pengumuman bahawa since ikan tak makan pancing dan 10 peserta wanita dilihat tergolek mabuk dalam sampan, kami akan balik ke pantai dalam 20 minit selepas itu. Pengemuman itu membuatkan 20 minit ku rasakan seperti 2 jam. Jika boleh di sa'at itu juga aku mahu pulang ke pantai. Akhirnya pada jam 9.30 mlm sampan mula bergerak ke pantai dengan hasil tangkapan cuma seekor ikan berbanding 25 orang bilangan peserta. Sungguh menggelikan hati. Akandatang jika ada lagi tawaran memancing di laut aku cuma akan kata "you all can carry on" haha.

Keesokan harinya pagi² lagi sampan kami menuju ke Pulau Pinang yang letaknya ke selatan jeti. Jangan keliru ya kerana Pulau Pinang juga terdapat di kepulauan Redang Terengganu. Perjalanannya mengambil masa tak sampai 10 minit. Di Pantai Pulau Pinanglah letaknya Taman Laut Malaysia.

Jeti Pulau Pinang

Selesai warming up kami mengenakan mask masing² dan turun ke air. Airnya bersih serta jernih sehingga kelihatan pasir yang putih di dasar. Air laut tidak biru warnanya, ia adalah air jernih namun rasa masinnya tetap sama walau di mana.
















Satu pemandangan dalam air yang sangat mengagumkan buat siapa jua yang berkunjung ke Taman Laut. Dalam dua atau tiga langkah saja memasuki air sudah kelihatan berduyun² ikan datang mengerumuni anda. Apatah lagi jika dihulurkan roti kepada mereka...... mereka akan datang menggigit roti itu daripada tangan anda. Ikannya bermacam jenis serta berwarna warni dan mereka sungguh jinak. Ya, mereka sungguh jinak tapi sukar ditangkap dengan tangan kosong.... seperti jinak² merpati haha. Apapun, menangkap ikan atau mengambil batu karang adalah salah dan anda boleh didenda sehingga RM20,000, jika di dapati bersalah.
















Sayang seribu kali sayang, pemandangan yang sungguh indah di bawah permukaan air itu tidak dapat diabadikan ke dalam foto kerana peralatan yang tidak mencukupi.


Berjaya Air menghampiri landasan untuk mendarat

Selesai acara snorkeling jam 12.00 tengahari, aku masih bertenaga. Kami kembali ke tempat penginapan.

Selepas menikmati makan tengahari di dewan makan, kami berangkat turun sekali lagi untuk aktiviti snorkeling di kawasan lain yang lebih mencabar. Lokasinya ialah perairan Pulau Lima, lebih kurang 30 - 40 minit perjalanan menaiki sampan.

Bahtera mewah STAR CRUISES sedang berlabuh tidak jauh dari Pulau Lima

Sampan yang dinaiki pelancung lain menyertai snorkeling

Di Pulau Lima airnya jernih serta lebih dalam. Ombaknya juga lebih besar. Namun peserta snorkeling nampaknya enjoy belaka kecuali aku yang merasa agak pening kepala bila dilambung ombak, mungkin kerana tadi aku terlalu lama tidak memakai kaca mata. Di kawasan Pulau Lima kelihatan banyak batu² karang yang tidak diusik..... termasuk ikan²nya.



Jurulatih snorkeling memerhatikan dari atas sampan.

Rasanya setakat inilah sajalah kandungan surat ini. Sampaikan salamku "assalamualaikum" kepada sahabat² kita yang berikut:
  • Samat Moain
  • Radzi Hamid
  • Mostafa Md Sa'aid
  • Azami Husin
  • Arif Penarik Beca
  • MRan Hassan
  • Ahmad Fu'ad
  • M Fuad HM
  • Laili Nordin
  • Edong Ed
  • dan mereka yang membaca surat ini.

Yang bersara (YB),



RADZI BIN DARUS